CERAMAH “BUDAYA KERJA BERKUALITI” : Permulaan Kita

Pada 23 Disember 2013, satu program ceramah yang bertajuk “Budaya Kerja Berkualiti” telah diadakan di Bilik Senat , Kampus Gong Badak. Dianjurkan oleh Pejabat Bendahari, ceramah ini telah disampaikan oleh Puan Zahara binti Kedri selaku Timbalan Bendahari  Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Objektif ceramah ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran awal berhubung dengan perlaksanaan  Sistem Pengurusan Kualiti bagi sesebuah organisasi. Bagi memenuhi hasrat ini, Timbalan Bendahari telah berkongsi pengalaman UMT berkaitan pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008 serta persediaan ke arah persijilan MS ISO 9001:2008.

 

Ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Bendahari UMT merangkumi  lapan prinsip kualiti, model sistem pengurusan kualiti dan faedah-pelaksanaan MS ISO 9000 di sesebuah organisasi. Menurut beliau, sesebuah organisasi yang mempunyai halatuju ke arah persijilan ISO perlulah membuat persediaan yang rapi kerana ia melibatkan perubahan budaya kerja di organisasi terbabit. 

Lapan Prinsip Kualiti yang diutarakan pada sesi ceramah menjadi asas kepada pelaksanaan iaitu bermatlamatkan pelanggan, kepimpinan, penglibatan staf, pendekatan proses, pendekatan sistem pengurusan, peningkatan berterusan, pendekatan berfakta dalam membuat keputusan dan hubungan yang bermanfaat dengan pembekal. Antara faedah-faedah yang dicapai adalah kefahaman menyeluruh terhadap keperluan pelanggan mahupun stakeholders, motivasi staf dalam menuju objektif organisasi, kepuasan dan keseronokan bekerja dalam menyumbang kepada penambahbaikan, pengurusan sumber dalam suatu proses dan peningkatan daya saing. 

Dalam merealisasikan budaya kerja yang berkualiti, komunikasi merupakan elemen yang penting dalam memberi perkhidmatan.  Sememangnya warga Pejabat Bendahari UniSZA melihat pelaksanaan Sistem Pengurusan  Kualiti MS ISO 9001:2008 adalah transformasi jangka panjang dalam usaha meletakkan Pejabat Bendahari pada tahap yang lebih tinggi  berdasarkan persepsi para pelanggan. Sebagai sebuah Pusat Tanggungjawabyang menyokong kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, keupayaan memenuhi kehendak pelanggan merupakan hasrat utama pihak Pengurusan Tertinggi UniSZA.

Adalah diharapkan hubungan baik dua hala di antara dua Pejabat Bendahari ini dapat dipupuk demi kebaikan bersama. Semoga maju bersama.

PrintEmail